Allah Maha Pemberi Rezeki - Buku ATM

Assalamualaikum,
Bagi mereka yang telah membaca buku “Mudahnya Menjemput Rezeki” tulisan saudara Fathuri Salehuddin, sudah tentunya mahu memiliki buku keduanya iaitu “Allah Tempat Meminta” (ATM). Alhamdulillah, saya juga telah berjaya mengkhatamkan buku ini pada bulan lepas. Buku ini menghimpunkan 40 kisah pengalaman pembaca buku MMR dan artis / penulis yang saya kagumi juga ada menyumbangkan perkongsian pengalaman mereka dalam meminta pertolongan Allah dan meletakkan pergantungan hanya kepada Allah semata-mata.
Jika anda masih belum membaca buku ini, pastikan anda membeli dulu tisu muka kerana saya pasti airmata anda akan mengalir setiapkali terbaca kisah-kisah yang menyentuh hati. Kadang-kadang kisah mereka begitu dekat dengan saya kerana pengalaman kami hampir-hampir sama juga. Yang pasti, buku ini banyak mengajar saya agar sentiasa bersangka baik dengan Allah dan banyakkan bersyukur di atas setiap nikmat yang Allah berikan. Jangan sesekali mengeluh atau membanding-bandingkan kehidupan kita dengan kehidupan orang lain kerana Allah tahu apa yang terbaik buat diri kita.
Buku ini mengajar kita agar sentiasa bergantung kepada Allah dalam apa jua keadaan dan situasi. Begitu juga dalam soal rezeki, bersangka baik dengan Allah walaupun ketika kita sedang diuji dengan kesempitan wang. Saya kongsikan salah satu kisah dari buku ini yang dihantar oleh abang Nazali Noor yang merupakan seorang penulis buku Ulu Yam Di Liverpool (UYDL), di mana beliau telah mendermakan not terakhir duit yang ada di dalam dompetnya di masjid Penny Lane. Ketika itu abang Nazali dan isteri sedang memerlukan duit untuk membeli tiket kapal terbang bagi keluarga mereka pulang bercuti di Malaysia. Bukan sedikit yang diperlukan kerana keluarga Abang Nazali yang besar paling kurang pun memerlukan sejumlah 5 angka juga untuk tiket dan lain-lain perbelanjaan.
Sesungguhnya Allah yang maha pemberi rezeki dan perancanganNya adalah yang terbaik buat kita. Abang Nazali telah mendapat tajaan lokasi penginapan dan juga duit royalti buku UYDL sebelum balik ke Malaysia. Tengok? Bermulanya derma yang bernilai £20 yang ikhlas, Allah kemudiannya memberi balasan berpuluh-puluh kali ganda terus kepada abang Nazali. Hebat bukan?
Itu hanya satu kisah, bayangkan lagi ada 39 kisah yang pelbagai. Memang tidak pernah jemu untuk membacanya kembali kerana ianya bagaikan satu peringatan buat kita supaya sentiasa bersangka baik dan melakukan kebaikan dengan ikhlas dan tidak mengharapkan balasan dari Allah. Saya masih ingat lagi buku MMR (Mudahnya Menjemput Rezeki) di mana ada dikongsikan cara-cara untuk menjemput rezeki dan saya amalkannya. Masya Allah, dengan kuasa Allah memang tak pernah putus rezeki yang Allah hadirkan dalam hidup saya. Setiap hari ada sahaja tempahan dan pelanggan yang ingin membeli. Apabila rezeki mula bertalu-talu masuk, saya jadi sibuk. Terlalu sibuk sehingga kadang-kadang mula rasa tidak bersyukur atau dalam erti kata lain tamak.
Perkongsian di dalam buku ini memang banyak membuatkan saya sedar bahawa tak semestinya apa yang kita mahukan Allah akan beri dan tak semestinya apa yang kita hajati Allah tidak akan tunaikan cuma faktor masa sahaja yang menentukan. Yang penting, jangan berhenti untuk berusaha kerana Allah mahu menilai apa yang kita telah usahakan selama ini. Adakah secara bersungguh-sungguh atau sambil lewa sahaja?
Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan buku ini. Boleh beli melalui Puan Anys Idayu Zakaria di sini : Anys Idayu Zakaria. Semoga apa yang saya kongsikan di sini mendapat manfaat buat semua. Insya Allah. Pesanan buat surirumah, jangan berhenti dalam menggali ilmu kerana tanpa ilmu siapalah kita.

Comments

Popular Posts