10 Perkara Anak Perempuan perlu tahu Bila Berusia 10 Tahun
Teks : Anys Idayu Zakaria
10 Perkara Anak Perempuan Anda Patut Tahu Apabila Dia Berusia 10 Tahun
Sumber : http://share.sweetmuslimah.com/index.php?iframe=www.bidadari.my%2F10-things-your-daughter-should-know-by-the-time-she-is-10%2F
10 perkara patut anak perempuan tahu sebaik sahaja mereka berusia 10 tahun
1. Betapa anda menyayanginya
6. Tidak semua bernasib baik sepertinya
Bismillah, terpanggil saya untuk berkongsi kisah dan artikel ini di blog. Artikel ini saya lihat di fb semalam. Sebenarnya saya nak bagi pada kakak syahiera untuk baca, jadi bila saya letak di blog mudah untuk kakak terus lihat dan baca.
Insya Allah semoga artikel ini sangat bermanfaat untuk kita yang mempunyai puteri. Semoga mereka tergolong dalam golongan puteri muslimah dan solehah.
Sumber : http://share.sweetmuslimah.com/index.php?iframe=www.bidadari.my%2F10-things-your-daughter-should-know-by-the-time-she-is-10%2F
Memiliki anak perempuan pasti berbeza
dengan anak lelaki. Lebih-lebih lagi apabila anda mempunyai hanya
seorang anak perempuan sahaja. Bagi kaum ibu, anak perempuan lebih dekat
dengan mereka. Anak perempuan ini bagaikan cermin bagi diri mereka.
Pasti boleh berkongsi minat yang sama, bakat yang sama dan pendapat yang
sama. Bagai kawan baik!
Artikel ini akan berkongsi 10 perkara
yang patut anak perempuan anda tahu sebaik sahaja mereka berusia 10
tahun. Penting bagi ibu bapa mengetahui perkara ini kerana bak kata
pepatah, “pelajaran terbaik bermula dari rumah”.
10 perkara patut anak perempuan tahu sebaik sahaja mereka berusia 10 tahun
1. Betapa anda menyayanginya
Tidak kira sebanyak mana anda berselisih
pendapat dengannya, segarang manakah anda atau sesibuk mana pun,
pastikan dia tahu, dia adalah insan yang terpenting bagi anda.
2. Bagaimana untuk memasak
Lumrah perempuan, perempuan sepatutnya
tahu memasak walau jenis masakan yang terpaling mudah. Mudah untuk
persediaan apabila dewasa. Sebaik sahaja berumur 10 tahun, anak
perempuan anda sepatutnya sudah pandai menyediakan makanan yang mudah
seperti roti bakar, telur dan sandwich. Teringat sewaktu kecil, ibu saya
sering membenarkan saya bermain dengan lebihan bahan masakannya. Saya
akan berangan bagai sedang memasak. Lama kelamaan, menjelang 10 tahun,
alhamdulillah saya sudah pandai menggoreng sayur yang mudah. Waktu itu,
seronok sangat perasaan. Bagaikan saya sudah mampu menggalas
tanggungjawab yang besar.
3. Perubahan tubuh badan dan apa patut mereka tahu
Perubahan fizikal anak perempuan masih
menjadi taboo dalam masyarakat kita. Kebanyakan ibu bapa segan untuk
mendedahkan anak perempuan mereka berkenaan isu ini dan berharapkan guru
di sekolah. Lebih baik sekiranya ibu bapa menjelaskan sendiri perkara
ini berbanding mereka mendapat tahu sendiri dari kawan-kawan.
Dikhuatiri, maklumat yang mereka peroleh sendiri adalah salah dan
bersifat negatif. Dedahkan pada anak perempuan anda, satu hari nanti,
mereka akan datang haid. Waktu itu menandakan mereka sudah dewasa. Saya
sendiri semasa kali pertama didatangi haid, berasa takut dan terkejut.
Saya yakin, sekiranya saya diberi pendedahan lebih awal, saya akan lebih
mudah menerima dan mengawal situasi tersebut. Dedahkan pada anak
perempuan anda akan perubahan fizikal yang akan berlaku dan ingatkan
pada dia jangan benarkan sesiapa menyentuh tubuh badannya walaupun ahli
keluarga lain.
4. Batas-batas agama
Ramai ibu bapa percaya, agama biarlah
anak-anak belajar disekolah. Sedangkan, seelok-eloknya, ibu bapa sendiri
mendidik anak perempuan mereka akan batas-batas agama. Ibu bapa perlu
menitikberatkan isu solat, aurat dan batas-batas pergaulan. Tekankan
pada pada anak perempuan anda, tengtang betapa pentingnya menjaga nilai
agama. Saya percaya, dengan teguhnya ajaran Islam dan iman sejak kecil,
anak perempuan anda akan lebih pandai menjaga diri di luar nanti. Beliau
akan lebih pandai membezakan mana yang baik, dan mana yang buruk. KIta
pasti tidak mahu anak perempuan kita menjadi seperti orang lain yang
hanya Islam pada nama. Mereka lahir dalam Islam, tetapi nilai Islam
tidak diketahui akibat kecuaian ibu bapa dan masyarakat
sekelilingnya. Namun begitu, kita perlu ingat, jangan hanya sekadar
mendidik, kita juga harus menjadi contoh yang baik pada mereka. Barulah
lebih mudah untuk mereka ikuti. Saya percaya, anak merupakan cermin pada
diri kita.
5. Hakikat kehidupan
Usia 10 tahun sudah cukup untuk mereka
mengetahui hakikat sebenar kehidupan. Tidak perlu isu yang berat dan
terperinci. Cukuplah sekadar yang dapat mereka fahami. Sebagai contoh,
isu Palestin di Gaza. Saya berpendapat, anak-anak tidak seharusnya
diabaikan untuk memahami isu ini hanya kerana mereka dianggap masih
muda. Jelaskan apa sebenarnya yang berlaku, dan berikan mereka ruang
untuk menyatakan pendapat mereka berkenaan isu ini.
Anak perempuan anda patut tahu bahawa
tidak semua orang bernasib baik sepertinya. Tidak semua rakan sebaya
dengannya pernah merasa makan malam di restoran. Tidak semua rakan
sebayanya mempunyai baju sekolah hampir 3 pasang. Tidak semua orang
mempunyai anggota badan yang cukup sepertinya. Galakkan mereka
bersedekah walaupun 20 sen sama ada di masjid, surau, tabung kemanusian
atau dimana sahaja. Teringat zaman kanak-kanak dahulu, saya sukakan cara
ibu saya menggalakkan kami bersedekah. Apabila ke masjid atau pasar,
beliau akan memberikan saya wang untuk dimasukkan ke dalam tabung
tersebut sambil menjelaskan kebaikan menderma. Lama kelamaan, saya
sendiri terdorong untuk meletakkan sedikit dari wang perbelanjaan
sekolah saya. Kepuasan kerana dapat menderma dengan wang sendiri tidak
dapat digambarkan dengan kata-kata. Latih anak anda bersifat sering
ingin membantu walaupun rakan sebaya mereka dalam kesusahan. Sesekali di
hujung minggu, bawa anak perempuan anda ke rumah anak yatim, rumah
orang tua atau zoo untuk menjadi sukarelawan. Selain dapat menghabiskan
masa berkualiti bersamanya, anak anda akan memperoleh pengalaman baru
sekaligus memupuk sifat suka membantu dalam diri mereka. Mulakan dengan
perbuatan kecil pun tidak mengapa. Sebagai contoh, setiap kali lepas
makan di restoran, cuba untuk mengemas serba sedikit agar memudahkan
pelayan restoran mengangkatnya nanti. Jika kita lakukannya, pasti
anak-anak akan turut mengikut. Ingatkan pada anak-anak “sekiranya kita
sering membantu atau memudahkan urusan orang lain, inshaAllah di masa
hadapan Allah akan membantu dan memudahkan urusan kita melalui orang
lain”. Ingat, pelayan restoran juga adalah manusia. Jadi tidak ada
salahnya kita boleh meringankan beban mereka.
Daripada Mus’ab bin Abu Waqas r.a
katanya: “Saad merasakan dirinya mempunyai kelebihan daripada orang
lain”. Maka Nabi Muhammad s.a.w bersabda: “Kamu tidak ditolong dan
diberi rezeki melainkan dengan (sebab) adanya orang yang lemah
(dikalangan kamu).” – hadith riwayat Bukhari
7. Setiap kemahuan harus diiringi dengan usaha
Akhir-akhir ini, saya dapati anak-anak
sering dilimpahi dengan pelbagai kemewahan. Umur masih belum genap
setahun, tetapi masing-masing mempunyai ipad tersendiri. Mewah. Apa
sahaja yang diminta, pasti akan dipenuhi ibu bapa. Bukan kesalahan
sebenarnya, memenuhi permintaan anak. Kita sebagai ibu bapa, pasti
mahukan yang terbaik buat mereka. Kita pasti mahukan mereka menikmati
perkara yang tidak mampu kita perolehi dulu. Tidak salah. Tetapi secara
peribadi saya berpendapat, anak-anak perlu dijelaskan bahawa bukan mudah
untuk mencari rezeki. Didik anak-anak untuk menabung sejak kecil demi
membeli barang yang mereka mahu. Apabila wang belanja sekolah diberi,
galakkan mereka menyimpan sebahagian dari wang tersebut untuk masa
hadapan. Selain itu, hadiahkan barang impian mereka, hanya apabila
mereka berjaya mencapai pencapaian tertentu. Sebagai contoh, hadiahkan
basikal apabila mereka berjaya khatam 30 juzuk al-Quran, atau apabila
memperoleh No 1 dalam pelajaran. Dengan cara ini, anak-anak akan lebih
kuat berusaha. Jadikan mereka rasa bahawa setiap usaha mereka berbaloi
dan membanggakan kita.
8. Penampilan adalah penting
Dia seharusnya tahu berkenaan bagaimana
untuk menjaga penampilan dan pakaian yang sesuai untuk majlis atau acara
tertentu. Sewaktu kecil, saya sering dipengaruhi dengan gaya dan
penampilan abang-abang saya. Saya sering memberontak setiap kali
dipakaikan baju kurung, kerana hati kecil saya terasa mahu memakai
seluar dan t-shirt seperti abang-abang saya. Namun setelah dinasihatkan
dengan lemah lembut oleh ibu saya, lama kelamaan saya boleh menerima
bahawa saya tidak sesuai berpakaian seperti mereka. Berbincang dengan
lemah lembut dan bertolak ansur dengan anak perempuan anda pasti boleh
membuatkan mereka mudah menerimanya. Jangan dipaksa! Hati mereka akan
mudah tersentuh dan mereka akan lebih terdorong untuk memberontak.
9. Pengaruh rakan sebaya
Lumrah perempuan, pasti akan ada banyak
disertai drama. Beritahu anak perempuan anda supaya menjauhi kumpulan
yang sibuk bercerita berkenaan orang lain, kerana mereka pasti akan
bercakap mengenai dia juga. Pupuk sifat yakin pada diri dan tegas dengan
pendirian beliau. Dengan cara ini, anak perempuan anda tidak akan mudah
terikut-ikut dengan rakan sebaya. Seawal sekolah dahulu, saya sendiri
mempunyai kawan yang gemar mengajak saya ponteng sekolah dan merokok!
Sekiranya anak perempuan kita tidak tegas pendirian, dia pasti akan
mudah mengikut ajakan rakan. Jangan terlupa, anak-anak penuh dengan
sifat ingin tahu. Tidak mustahil mereka akan mudah terpengaruh hanya
kerana sifat ingin tahu yang kuat. Didik anak perempuan anda supaya
berani untuk melaporkan salah laku atau kes buli yang extreme berlaku
disekelilingnya.
10. Hidup, bukanlah mudah
Anak perempuan anda perlu tahu, akan
banyak cabaran yang perlu dia hadapi semakin dia menginjak dewasa. Ada
anak perempuan, yang kelihatan tidak sabar untuk menjadi dewasa.
Sedangkan jauh sekali merek ketahui, hidup ini tidaklah seindah yang
disangka. Hidup ini bagaikan roda, kadang kala kita berada di atas, dan
kadang kala kita berada di bawah. Didik mereka supaya sering bersyukur,
dan menghargai nikmat yang ada disekelilingnya sekarang – kerana kita
tidak tahu, selama manakah Allah meminjamkan nikmat tersebut pada kita.
Pastikan mereka tahu, mereka harus sentiasa bersedia dengan dugaan yang
bakal ditempuh, kerana dugaan tersebut datangnya kerana kasihnya Allah
pada diri kita.
Mengetahui 10 perkara ini membolehkan
anak perempuan anda memulakan zaman awal remaja dengan permulaan yang
baik. Dengan keadaan zaman serba moden ini, anak-anak perempuan berada
di luar rumah walau seketika pun mampu membuatkan ibu bapa berasa risau
dan susah hati. Kerana kita sebagai ibu bapa pun tahu betapa bahayanya
di luar sana. Tetapi tidak realisitik sekiranya kita mahu mengongkong
dan menyekat kebebasan mereka setiap masa kerana ini akan membuatkan
mereka lebih memberontak. Oleh itu, persiapkan anak anda dengan ilmu dan
pengetahuan secukupnya. Selepas tanggungjawab kita tertunai, inshaAllah
yang selebihnya kita serahkan kepada Allah untuk menjaga mereka.
Semoga bermanfaat. Wassalam
Comments
Post a Comment