Persediaan Berpantang

 
 
 
 
Teks: Masayu Ahmad

Bab 3: Persediaan Berpantang 

3.1 Tujuh persediaan asas

3.2 Bantuan Penjagaan

3.3 Kelengkapan Ibu

3.4 Kelengkapan Bayi

3.5 Penyusuan Eksklusif

3.6 Tip dalam pantang

 
Contoh petikan bab

3.1 Tujuh persediaan asas

Persediaan berpantang

Tujuh perkara utama yang dikenal pasti perlu diambil perhatian wanita sebelum berada pada akhir kelahiran dan juga sebelum menempuh 44 hari berpantang. Persediaan fizikal, mental, peralatan bayi, hospital bersalin, kelengkapan berpantang, penjagaan berpantang dan informasi ibu hamil serta penjagaan bayi perlu disenaraikan dan mendapat maklumat secukupnya.
  • Fizikal
Ibu hamil akan mengalami proses akhir ketika kandungan menghampiri tarikh kelahiran. Sangat perlu untuk memastikan pengambilan pemakanan seimbang, berat badan tidak berlebihan dan juga tubuh kekal aktif bertenaga. Untuk memudahkan proses bersalin, anda harus banyak bergerak, berjalan, turun naik tangga pada fasa ke tiga kehamilan (usia kandungan 7, 8 dan 9 bulan).
Jangan beri alasan malas sekiranya mahukan proses bersalin yang lebih mudah. Selebihnya mudah atau tidak bergantung kepada rezeki. Namun ibu hamil masih boleh bersedia dengan menikmati hari-hari teakhir kelahiran dengan melakukan regangan, berjalan perlahan-lahan dan sebagainya.

  • Mental
Persediaan mental dengan membaca surah-surah pilihan seperti surah Mariam, Luqman, Yusof, agar diri sentiasa tenang dan menikmati hari-hari kandungan yang semakin membesar.  Biarkan fikiran sentiasa relaks dan ketika kontraksi pertama berlaku, sematkan dalam diri bahawa masanya sudah tiba, perlu  ditempuhi dengan tenang. Jangan terbawa-bawa kisah dan pengalaman yang kurang menyenangkan perasan. Setiap wanita hamil mengalami keadaan yang berbeza.

  • Peralatan bayi
Buat senarai peralatan bayi, untuk memudahkan anda tahu apa yang sudah ada dan apa yang belum. Simpan dan letak di satu sudut yang memudahkan anda untuk mengemas kini. Sediakan beg khas untuk barangan bayi yang akan dibawa bersama ketika berada di hospital untuk beberapa hari.
Pada bulan terakhir beg keperluan untuk ke hospital boleh diletakkan di bonet kereta, untuk memudahkan apabila sudah ada tanda-tanda awal akan bersalin. Juga kad pemeriksaan bulanan, serta keperluan lain yang berkaitan. Untuk menjimatkan bajet peralatan bayi boleh dirancang pembelian melalui musim jualan muran atau jualan harga murah iaitu pembelian terus di gudang peralatan bayi dan kanak-kanak. Ia lebih menjimatakan.

  • Kelengkapan berpantang
Kelengkapan berpantang, termasuklah barut, bengkung, tungku, ubatan atau jamu untuk memulihkan kesihatan dalaman dan luaran. Menyediakan bilik berpantang juga adalah memudahkan anda berehat di bilik khusus tanpa gangguan. Buat  senarai terlebih dahulu sebelum membeli keperluan berpantang. Kadangkala untuk kelahiran ke dua, ke tiga dan seterusnya masih boleh menggunakan kelengkapan pantang semasa melahirkan anak pertama seperti batu sungai (untuk bertungku),  set sauna (memanaskan badan) dan bengkung. Manakal set bersalin perlu dibeli yang baru mengikut citarasa ibu hamil.
 
  • Penjagaan semasa berpantang

Sama ada kelahiran sulung, anak ke dua atau ke tiga, ibu hamil perlu membuat persediaan siapa yang akan menjaga ketika berpantang kelak. Sekiranya berada di rumah mertua, boleh selidik lebih awal gaya penjagaan ibu mertua melalui adik beradik, ipar duai atau berbincang sendiri dengan ibu mertua. Begitu juga sekiranya dijaga suami atau adik beradik, anda boleh berbincang terlebih dahulu apa yang anda mahukan dan juga berdasarkan pengalaman mereka.
Langkah lain sekiranya sudah mempunyai beberapa orang anak, boleh sahaja menghantar anak-anak yang lain transit di pusat jagaan semasa tempoh bersalin. Juga boleh membayar upah pembantu sementara hanya selama dua bulan, iaitu selama tempoh berpantang.

 Hospital bersalin Sangat penting menyenaraikan maklumat awal berkenaan lokasi atau tempat bersalin. Senaraikan beberapa lokasi pilihan untuk memudahkan anda ketika berada situasi kecemasan ketika kontraksi atau tanda-tanda bersalin sudah ada.
Senarai hospital  bersalin kini boleh dan mudah didapati melalui carian internet, juga melalui majalah keibubapaan atau majalah berkaitan bayi dan kanak-kanak yang banyak di pasaran.

Informasi wanita hamil dan penjagaan bayi Maklumat dan info berkaitan kehamilan dan penjagaan bayi boleh didapati melalui buku-buku, artikel di majalah, laman web kehamilan, perkongsian pengalaman dan juga pertanyaan kepada pakar perbidanan. Gunakan masa yang ada untuk meningkatkan informasi anda berkaitan kehamilan dan penjagaan bayi, agar memudahkan diri membuat persediaan dengan lebih sempurna dan teratur.

 
3.2 Bantuan Penjagaan

Bagi pasangan yang baru kali pertama akan menimang cahaya mata, selalunya amat teruja untuk menanti hari bahagia tersebut. Jika masih mempunyai ibu atau mertua, kelahiran anak sulung biasanya,akan dibantu mereka semasa tempoh berpantang. Bukan sahaja mudah untuk memberi panduan berpantang, malah kaedah tradisional turut ditekankan bagi mertua atau ibu yang masih mengekalkan rawatan tradisional untuk berpantang.
Bagaimana pula untuk kelahiran kedua, ketiga dan seterusnya. Masih ada cara untuk anda menjalani tempoh pantang yang masih releven dengan menjalani tempoh pantang di rumah sendiri. Berikut beberapa alternatif yang boleh digunakan.
Menggunakan khidmat bidan
Masih ada bidan-bidan yang menyediakan rawatan kepada ibu bersalin. Maksudnya datang terus ke rumah menyediakan kelengkapan mandian rebusan, menyediakan makanan ibu bersalin, bertungku, berurut. Ada yang menyediakan sehingga 44 hari rawatan.

Hanya tempoh kritikal di bawah penjagaan ibu atau mertua
Tempoh penjagaan sehingga tempoh kritikal ibu yang mengalami jahitan yang banyak dan juga luka yang lambat sembuh dan pergerakan yang terbatas. Bagi mereka yang mengalami proses bersalin yang lebih mudah, hanya mendapat pemantauan dari ibu atau mertua selama 10 hari atau 2 minggu sahaja. Hari seterusnya boleh dibantu oleh suami sendiri atau pembantu rumah.
Suami bercuti untuk menjaga isteri berpantang
Jika tiada pilihan lain, suami boleh mengambil cuti tahunan selama dua minggu atau mengikut kebenaran majikan. Tidak salah berkongsi hari-hari penuh makna bersama isteri. Adalah lebih mudah suami menyediakan kelengkapan isteri, ini juga membuatkan ikatan rumahtangga lebih harmoni dan erat. Contohnya anda merancang kehamilan awal tahun dan jangkaan bersalin hujung tahun. Ini memudahkan  suami mengambil cuti pada hujung tahun sebagai cuti khusus untuk menjaga isteri semasa berpantang. Dua minggu pertama berpantang isteri memerlukan perhatian dan rawatan yang teliti.
 
Miliki naskah ini pre order RM30 sahaja terbit secara rasmi 15.12.2013
 
 
 

Comments

Popular Posts