Peringatan Buat Usahawan

Teks : Anys Idayu Zakaria


Awal pagi tiba di pejabat, semua tugasan telah selesai. Lantas teringat Solusi yang saya tinggalkan di atas meja minggu sudah, masih belum selesai dibaca. Sedang membelek-belek, terpandang satu artikel dari Dr. Irfan Khairi, Usahawan Internet terkenal. Di sini saya kongsikan artikel yang beliau tulis iaitu Peringatan yang mesti ada dalam diri setiap usahawan. Dan mesti diamalkan peringatan ini setiapa masa, untuk membolehkan kita berjaya lebih jauh dan melakukan semua tugasan dengan lebih tekun dan sepenuh hati.
 
1. Rancangan perlu siap minggu ini - Menulis nama projek atau rancangan yang sedang dirancang dan yang akan dilakukan. Tulis bila ia perlu disiapkan. Baca setiap hari dan laksanakan secepat mungkin. Jadikan ia sebagai satu kemestian sehingga berjaya dihasilkan.
 
2. Sasaran Pendapatan - Perlu ada sasaran dalam perniagaan. Kadang-kadang pendapatan yang diperolehi tidak sama dengan apa yang kita jangkakan. Tapi amat penting untuk kita memberi peringatan kepada diri sendiri bahawa kita mempunyai sasaran.  Selagi sasaran tersebut belum tercapai, kita perlu berusaha lebih gigih. Dan selalu ingat sasaran akan menjadikan kita akan lebih berusaha lebih daripada biasa.
 
3. Mesti memiliki sesuatu - Sesetengah orang mengimpikan kereta mewah, rumah besar serta pendapatan lumayan. Ada juga orang yang menginginkan kenaikan pangkat, mendapat projek dan sebagainya.  Semua perkara ini perlu kita tulis dan ingatkan kepada diri sendiri setiap hari. Bukan sekadar menaruh impian kosong tanpa berusaha mendapatkannya.  Mungkin jika kita tidak dapat mengecap impian itu, namun segala usaha dan kegigihan membuatkan kita berada di tahap berbeza daripada sebelumnya.
 
4. Membahagiakan keluarga - Setiap usaha perlu bersebab.  Salah satu yang selalu diingatkan kepada diri sendiri ialah untuk membahagiakan keluarga.  Kita akan berusaha lebih tekun kerana kita mahu mereka bahagia dan hidup selesa.
 
5. Mahu membantu masyarakat - Setiap usaha yang dilakukan jika mempunyai niat ikhlas untuk membantu masyarat dan orang lain, Insya Allah kita boleh berjaya.  Ingatkanlah selalu pada diri kita ; ''Aku ingin membantu mereka yang berada dalam kesusahan dan orang yang memerlukan.'' Semoga peringatan ini akan bermakna dan diredhai Allah swt dalam setiap perkara yang kita lakukan.
 
6. Reda dengan takdir Allah - Dalam perniagaan, kita tidak akan selalu meraih keuntungan kerana ada waktunya kita juga akan mengalami kerugian. Jadi kita perlulah mempunyai sikap menerima kegagalan dengan cekal dan tabah. Selalu mengingatkan diri sendiri bahawa semua rezeki datang daripada Allah swt. Apabila kita menerima konsep ini, kita akan redha dengan kerugian dan menerima hikmat daripada kegagalan. Berusahalah bersungguh-sungguh dan sekiranya rezeki kita belum ada, bersabarlah. Insya Allah akan ada jalan kejayaan. Sentiasa berdoa, berusaha, berikhtiar dan bertawakkal.
 
(Sumber : Solusi, Bil 51, Januari 2013)

Comments

Popular Posts