Rezeki anak (Bahagian 1) - 13/6/2013

Teks : Anys Idayu Zakaria
Foto : Carian goggle


Diam tak diam rupanya tahun ini sudah masuk 6 tahun saya berkhidmat di Jabatan Kerajaan sebagai Setiausaha Pejabat (N27). Pada saya rezeki kerja kerajaan ini sememangnya rezeki anak sulung. Sebelum itu saya bekerja di sebuah syarikat pelancongan sebagai pegawai pemasaran. Semasa sedang mengandung memang saya ada pergi temuduga untuk jawatan pembantu tadbir, dan tak disangka selepas bersalin beberapa hari saya telah mendapat surat tawaran bekerja untuk jawatan tersebut. Tapi saya terpaksa menolak kerana ketika itu sememangnya masih baru lagi dalam pantang, tambahan pula jawatan tersebut bukan sebagai setiausaha. Dalam hati, berdoa semoga ada lagi rezeki yang datang kerana selepas bersalin saya sudah berhenti bekerja. ketika itu tahun 2006, bulan Ogos.
 
Tahun 2007 saya mendapat tawaran bekerja sebagai guru tadika di kawasan perumahan berhampiran dengan kediaman. Masih lagi memohon dan mengisi borang SPA untuk jawatan kerajaan dan masih berharap ada rezeki saya di situ. Menerima panggilan temuduga pada pertengahan tahun untuk jawatan yang diidam-idamkan, sebagai setiausaha. Alhamdulillah jawapan temuduga diterima juga pada bulan Ogos 2007. Setahun selepas saya menolak jawatan pembantu tadbir.
 
Melalui surat tawaran tersebut saya perlu menjawab samada menerima atau menolak jawatan yang ditawarkan, surat panggilan lapor diri dihantar kemudian beserta dengan dokumen lain yang diperlukan. Jadi sememangnya saya menjawab menerima jawatan tersebut, setelah itu menunggu pula surat untuk lapor diri. Saya pun mula memberi notis kepada guru besar tadika kerana pada anggaran saya surat lapor diri pasti akan tiba lebih kurang sebulan daripada surat penerimaan tawaran.
 
Nak dijadikan cerita, pada ketika itu saya menyewa, duduk bersama ibu mertua. Kemudian dalam tahun tersebut ibu mertua mengajak kami untuk berpindah ke rumah beliau sendiri dan kebetulan pula tuan rumah mahu tinggal di situ akhir tahun tersebut. Kami sekeluarga pun berpindahlah ke rumah ibu mertua di kawasan berdekatan juga dengan kawasan saya menyewa.
 
Saya pula masih lagi menunggu surat lapor diri daripada JPA kerana ketika itu sudah masuk hampir dua bulan daripada surat tawaran. Oleh kerana kami sudah berpindah, jadi saya pun berpesan kepada suami supaya jenguk-jenguk di rumah sewa mana tahu surat sudah sampai ke sana. Saya juga ada mengambil alternatif dengan menghantar surat pertukaran alamat kepada JPA.  Memang penantian satu penyiksaan. Jenuh juga menunggu dan berpesan-pesan kepada jiran lama supaya menyimpan surat saya jika ada. Masa semakin berlalu, sudah hampir ke akhir tahun. Jadi saya redha dan menganggap memang tiada rezeki di situ. Guru besar tadika pun mula bertanya tentang surat berhenti yang telah saya hantar. Jadi saya katakan kepadanya tidak jadi berhenti.
 

 

Akhir November 2007, ketika saya di tadika suami menelefon katanya ada orang yang mencari saya dan memberitahu beliau sama ada saya mahu atau tidak tawaran kerja sebagai setiausaha di jabatan kerajaan.  Dengan perasaan berdebar saya terus menelefon ke nombor yang telah mereka tinggalkan kepada suami. Rupanya yang menelefon tu pegawai daripada JPA yang menguruskan pelantikan. Beliau bertanya kepada saya adakah mahu menerima jawatan setiausaha tersebut kerana surat lapor diri yang JPA hantar telah dikembalikan semula kepada mereka. Lantas saya terus menjawab menerima tetapi surat lapor diri tidak terima kerana telah berpindah rumah.  Pegawai tersebut terus memberitahu tarikh melapor pada 9 Disember 2007 dan terus menghadiri kursus pengenalan di INTAN, Kampus Wilayah Selatan Kluang serta dokumen yang perlu dibawa bersama. Surat akan diberi pada masa saya melapor kerana sudah tidak sempat jika hendak pos.
 
Rupa-rupanya dalam resume yang saya hantar ketika temuduga dulu saya telah letakkan no telefon suami. Saya pula sudah bertukar nombor telefon. Nasib baik suami tidak menukar nombor. Jadi pegawai tersebut menelefon merujuk kepada resume tersebut. Ketika itu saya memang bersyukur sangat-sangat. Memang dah tak mengharap lagi jawatan tersebut kerana sudah hampir 3 bulan lebih menunggu. Tetapi Janji Allah itu benar. Setiap anak memang dah tertulis rezeki masing-masing.
 
Alhamdulillah memang rezeki kakak, dapat anak sulung saya dapat bekerja kerajaan. Jika diingat-ingat memang saya terlepas tawaran tersebut kerana surat lapor diri yang dihantar telah dikembalikan semula, dan kami sekeluarga pula sudah berpindah alamat. Dan saya pula memang sangat-sangat terlupa yang saya telah menggunakan no telefon suami dalam resume tersebut. Jika tidak kerana pegawai JPA yang menelefon pasti saya tidak pergi melapor. 
 
Bersambung pula rezeki anak (Bahagian 2). Insya Allah nanti saya akan ceritakan.
 
 
 
 
 
Sesuai bagi mereka yang sedang mempelajari Al-Quran,baru belajar mengaji,memperbetulkan bacaan kerana bacaan yang jelasnya dapat membantu pengguna memperbetulkan bacaan dan tajwid serta dapat membaca dengan lebih lancar dan tepat.

Comments

Popular Posts