Pemikiran Usahawan Internet

Teks : Anys Idayu Zakaria
Foto : Carian Goggle


Assalamualaikum. Salam pagi jumaat yang indah. Kita bersiaran lagi setelah lama saya tidak menulis dan mengemaskini blog. Pagi-pagi ini bila menulis idea akan datang seperti air yang mencurah. Sambil-sambil kita tambah sedikit ilmu tentang bisnes internet.
 
 
 
Untuk menjadi usahawan internet yang berjaya, kita perlu mempunyai satu pemikiran serta mentaliti yang sangat berbeza berbanding orang lain yang tidak mahu melakukan perubahan atau tidak mempunyai sebarang perancangan diri.  Sekiranya kita masih berada di takuk yang lama dan tidak mahu melakukan perubahan, pasti kita tidak akan berjaya dan hanya duduk sampai bila-bila di tempat kita tanpa anjakan paradigma.  Setiap usahawan tidak kita usahawan online atau offline perlu mempunyai pemikiran seperti berikut :

1. Kesan peluang melalui matlamat - Tulis matlamat yang hendak dicapai dengan jelas. Nyatakan matlamat jangka masa pendek dan matlamat jangka masa panjang. Matlamat tersebut hendaklah ditulis dengan terang dan jelas serta mudah untuk dilihat. Tulis tarikh akhir dan jelaskan bagaimana cara untuk mencapai matlamat tersebut. Baca matlamat tersebut setiap hari supaya minda kita akan memberitahu bahawa matlamat itu penting dan perlu dicapai.
 
2. Gunakan peluang yang muncul - Sebagai usahawan, apa sahaja peluang yang datang terutamanya yang membawa kebaikan kepada diri dan perniagaan, kita perlu merebut dan menggunakannya dengan sehabis baik supaya memperoleh manfaat daripada peluang tersebut.  Ada juga sesetengah usahawan yang kurang bertindak serta gagal memanfaatkan peluang yang datang. Malah lebih senang menunggu dan melihat perubahan orang lain terlebih dahulu.
 
3. Hapus halangan minda negatif - Halangan minda negatif yang sentiasa berlegar dalam pemikiran kita ialah sifat malas, penat, suka bertangguh dan suka melihat dulu perubahan orang lain sebelum kita sendiri bertindak.  Sifat-sifat negatif ini bukan sahaja akan merosakkan pemikiran, malah akan menyebabkan kita langsung tidak mempunyai motivasi diri. Sifat seperti inilah yang akan menyebabkan apa sahaja yang kita usaha tidak mencapai target yang telah dirancang.
 
4. Bina jambatan ilmu - Kini telah banyak pakar usahawan yang berjaya mengadakan seminar serta menerbitkan buku-buku panduan untuk usahawan. Sebagai usahawan yang baru bermula dan mahu berjaya, kita perlu sentiasa menambah ilmu. Motivasi diri sangat penting kepada setiap usahawan kerana dari motivasilah kita akan sentiasa bersemangat untuk melaksanakan tugas setiap masa.  Tambah ilmu di dada sebanyaknya supaya ilmu tersebut dapat dimanfaatkan. Orang yang bertindak dengan ilmu jauh berbeza pencapaiannya dengan orang yang bertindak tanpa ilmu. Melaburlah sedikit keuntungan bisnes untuk minda kita. Sekiranya kita tidak berpeluang untuk mengikuti seminar yang dianjurkan di luar, kita boleh membaca buku-buku motivasi yang ada  dipasaran. Kini, lebih senang dengan hanya membeli ebook dan membacanya melalui gadget canggih.
 
5. Keluar dari zon selesa - Tidak ramai usahawan yang mahu keluar dari zon selesa sekiranya mereka telah mencapai apa yang telah mereka inginkan.  Jika kita masih berada dalam zon selesa, kita tidak akan merasai kesusahan dan kepayahan yang perlu dilalui untuk lebih berjaya. Kadang kala ada juga yang merasa telah berada di zon selesa walhal, pencapaian yang diperolehi tidaklah sehebat mana. Ini kerana mereka tidak mahu keluar dan tidak mahu lagi melakukan perubahan.
 
6. Bersyukur - Seharusnya kita perlu bersyukur kepada Maha Pencipta kerana Dialah yang telah memberi rezeki untuk kita berjaya dan mencapai matlamat yang dirancang. Bersyukur dengan apa yang ada setiap hari supaya kita akan berasa lebih tenang dan ikhlas untuk melakukan tugasan seharian.

Comments

Popular Posts