EBOOK

Teks : Anys Idayu Zakaria
Foto : Koleksi Kedai Online Aizmall Gedung Buku


E-book (electronic book) atau dalam bahasa melayu membawa maksud buku elektronik sudah mula dikenali ramai. Sudah ramai penulis yang menulis secara online dapat menghasilkan ebook sendiri. Malah mula menjana pendapatan melalui hasil tulisan ebook mereka. Ebook merupakan bisnes produk digital yang tidak memerlukan proses penghantaran atau proses pos. Ia boleh dimuat turun daripada laman web, FTP di internet atau daripada link yang dihantar oleh penjual menerusi email pembeli. Contohnya apabila penjual menerima tempahan belian, mereka akan terus menghantar link ebook tersebut kepada pembeli. Proses pembelian ebook juga sangat cepat dan pantas. Pembeli boleh menerima ebook mereka dengan kadar segera.
 
Ebook yang ditulis oleh penulis merupakan produk informasi yang mengandungi maklumat yang sangat penting dan berguna kepada pembaca, contohnya "Ebook Bagaimana hendak kurus", "Ebook Strategi Pemasaran di Facebook" dan pelbagai jenis ebook lagi yang hangat di pasaran internet buat masa sekarang. Ebook yang ditulis adalah dalam format PDF, yang mudah dijual di pasaran internet kerana ia lebih cepat dan mudah diperolehi berbanding buku fizikal biasa yang memerlukan kita ke kedai untuk mendapatkannya.  Malah harga ebook juga lebih murah kerana ia tidak menjalani proses percetakan. Tambahan pula, zaman serba canggih kini, telah ramai yang memiliki telefon pintar android yang membolehkan kita membaca ebook melalui telefon sahaja. Tidak perlu lagi membuka komputer atau laptop.
 
Bagi usahawan online yang berminat untuk menghasilkan ebook, sebenarnya tiada panduan spesifik yang perlu diikuti berbanding buku biasa yang perlu mengikut format tertentu. Tajuk ebook juga lebih fleksibel dan biasanya lebih kepada informasi dan panduan kepada pembaca. Sebagai contoh, bagi yang berminat untuk menghasilkan ebook, kalian boleh fokus kepada satu-satu masalah. Hasilkan ebook yang dapat membantu pembaca menyelesaikan masalah mereka. Contohnya sekarang ini sudah ramai yang menceburi bisnes membuat coklat sendiri, sekiranya anda mahir dalam bidang tersebut anda boleh menulis "Ebook Menghasilkan Coklat Buatan Sendiri". Letakkan gambar-gambar yang bersesuaian dengan topik yang diceritakan supaya pembaca lebih memahami dan tidak ragu-ragu untuk mengikuti panduan yang diberikan.
 
Untuk menulis ebook, kita perlu ada penjenamaan sendiri supaya pembaca mudah mengenali. Apabila kita sudah ada pengikut setia, ebook seterusnya yang dihasilkan sudah ada kategori pembacanya. Adalah lebih baik sekiranya kita menghasilkan ebook yang menggunakan teknik bersiri atau berkesinambungan supaya pembaca akan membeli ebook yang sebelumnya. Melalui penulisan yang berkesinambungan, ebook yang terdahulu turut akan terjual. Kita juga perlu konsisten dalam menulis ebook supaya dapat menghasilkan ebook yang bagus penulisannya. Serta dapat menghasilkan lebih banyak ebook lain.
 
Dalam menceburi bisnes ebook ini, keuntungannya adalah untuk jangka masa panjang kerana kita hanya menghasilkan atau menulis sekali, tetapi jualannya berkali-kali.  Kos untuk menghasilkan ebook juga rendah, dan kita dapat menjual dengan harga yang tinggi kerana nilai maklumat yang terkandung dalam ebook tersebut menyebabkan nilai/harganya tinggi.  Malah penjualan ebook juga kita boleh katakan sebagai pendapatan pasif.  Kita juga boleh merekrut agen affiliate untuk menjual ebook tulisan kita. Maka dengan ini, kita dapat menjana pendapatan yang berganda hanya melalui penulisan ebook.
 
 
 
 

Comments

Popular Posts