Transaksi pembayaran bisnes online

Teks : Anys Idayu Zakaria
Foto : Carian goggle

Sekiranya kita menjalankan bisnes secara online, kita perlulah mempunyai akaun bank untuk memudahkan pelanggan mendeposit bayaran ke dalam akaun bank kita.  Jika kita telah mendaftarkan perniagaan, kita boleh membuka akaun yang berbeza daripada akaun simpanan.  Ini untuk memudahkan penjual menguruskan transaksi supaya tidak bercampur dengan wang yang lain. Pelbagai kaedah pembayaran yang boleh digunakan oleh penjual untuk memudahkan pelanggan membuat bayaran.  

Kini hampir semua bank mempunyai sistem yang membolehkan kita memindahkan wang secara online. Melalui transaksi ini, sebagai penjual kita hanya perlu memberikan no akaun bank, nama dan email kepada pembeli untuk mereka melakukan transaksi.  Bukti pembayaran juga boleh kita terima melalui email yang dihantar oleh pihak bank kepada kita atau pembeli menghantar butir bayaran. Selain melakukan secara online, pelanggan juga boleh mendepositkan wang dengan menggunakan mesin deposit.  Resit digunakan sebagai bukti pembayaran telah dilakukan.

Petikan Berita Harian (17 April 2013), Maybank telah melancarkan Maybank2u Pay untuk menyediakan transaksi lebih pantas serta selamat kepada pemilik perniagaan yang menguruskan perniagaan secara online. Menerusi sistem baru ini, peniaga boleh melihat maklumat terperinci jualan seperti tarikh dan masa transaksi dibuat selain nama pembeli, alamat email dan jumlah wang yang telah dipindahkan oleh pembeli.


 





Selain menggunakan kaedah pemindahan wang secara online, pihak penjual juga boleh memilih paypal. Paypal adalah pemproses kad kredit pihak ketiga yang menerima pembayaran melalui email.  Penggunaan paypal juga lebih mudah dan selamat. Urusan pembayaran boleh dilakukan dengan menggunakan kad kredit dan secara online. Apabila pembayaran kad kredit diluluskan, pelanggan akan menerima notis melalui email bahawa kad kredit mereka telah dicaj.  Maklumat pesanan akan dihantar kepada penjual.  Untuk melakukan proses pembayaran secara paypal, peniaga perlu mempunyai sistem paypal. 


Selain itu, kaedah wang pos juga boleh digunakan.  Pelanggan akan mengirimkan wang pos mengikut harga barangan dan kos penghantaran kepada penjual.  Setelah wang pos tersebut diterima, barulah penjual menghantar barang yang telah dipesan oleh pelanggan. Pembeli juga boleh menggunakan cek sekiranya penjual menerima pembayaran menerusi cek.  Walau bagaimanapun, kedua-dua kaedah ini agak sulit dan melambatkan lagi proses penghantaran barang.  Ini adalah kerana penjual perlu menunggu terlebih dahulu bayaran yang dihantar oleh pembeli, barulah barang akan dipos.

Jualan secara online adalah untuk memudakan pelanggan, jadi sudah tentulah mereka akan memilih kaedah pembayaran yang lebih cepat dan pantas supaya penjual dapat memproses penghantaran barangan dengan segera. 

"Tiada satu jualan dikira selesai sehingga produk itu telah digunakan dan pelanggan berpuas hati." Leon Leonwood Bean, L.L.Bean, Inc.

Comments

Popular Posts