Tips Khidmat Pelanggan

Teks : Anys Idayu Zakaria                                       
Foto : Carian Goggle 


Khidmat pelanggan sangat penting bagi anda yang sedang menjalankan bisnes. Tidak kira bisnes kecil-kecilan mahupun syarikat besar. Tanpa pelanggan kita sebagai peniaga tidak wujud.Untuk membina hubungan perniagaan dengan pelanggan kita perlu membina hubungan baik dengan mereka. Dari situlah produk kita terjual tanpa kita perlu melakukan promosi. Seperti kata pepatah yang pernah saya dengar 'bisnes adalah hubungan antara manusia'. Ramai peniaga yang kurang ambil berat dan sering melupakan khidmat pelanggan ini. Mereka beranggapan, hubungan dengan pembeli telah selesai setelah pelanggan menerima barang yang dijual. Sebenarnya perhubungan tersebut baru bermula.


Di sini saya kongsikan tip yang boleh digunakan oleh para peniaga.

Sentuhan peribadi
Biasanya pelanggan akan datang membeli daripada orang yang mereka kenali. Jadi sebagai penjual kita perlu berhubung dengan mereka. Sentiasa memberikan khidmat yang terbaik, mesra dan suka membantu apabila mereka datang bertanya. Sekiranya kita berhubung sehingga ke tahap peribadi mereka akan lebih mempercayai dan mengenali kita.

Tunaikan janji
Sekiranya kita telah berjanji dengan pelanggan untuk menghantar pesanan pelanggan, kita perlulah menepati janji. Jika tidak dapat dipenuhi, kita perlulah memaklumkan kepada pelanggan dengan segera dan memohon maaf dan  cuba mengatasi masalah tersebut supaya tidak menimbulkan kesulitan di pihak pelanggan. Ini adalah untuk meningkatkan kepercayaan pelanggan kepada kita.

Memudahkan
Sebagai peniaga, kita perlu berusaha untuk memudahkan pelanggan. Tidak kira ketika mereka hendak mendapatkan barangan atau ketika mereka menghubungi kita. Sekiranya produk yang kita jual merupakan produk yang laris, kita perlu memastikan stok barangan tersebut sentiasa mencukupi supaya tidak membuatkan pelanggan tertunggu stok baru.  Inilah faktor yang menyebabkan pelanggan boleh mencari penjual lain.  Peniaga perlu mengambil peluang menggunakan kemudahan teknologi yang ada kini seperti email, telefon, twitter, facebook, yahoo messager, live chat, whatsapp dan sebagainya untuk memudahkan perhubungan antara anda dan pelanggan.

Menghubungi semula
Untuk membina hubungan yang erat dan baik dengan pelanggan, kita perlulah menyimpan rekod dan data pelanggan seperti nama, no telefon, alamat dan email. Dengan data yang ada, kita boleh melakukan proses follow up dengan mereka.  Sekiranya mereka membeli produk, kita boleh mendapatkan mereka semula untuk bertanyakan maklum balas setelah menggunakan produk tersebut.  Maklum balas mereka kita boleh jadikan sebagai testimoni kepada produk jualan kita.  Selain itu, sebagai peniaga, kita boleh menghantar sms atau kad sebagai tanda terima kasih atau ucapan selamat hari jadi.  Hubungan yang baik seperti ini akan lebih mendekatkan pelanggan dengan kita.  Malah mereka pasti akan merasa gembira serta setia dengan perkhidmatan dan produk kita.

Membina hubungan yang baik dengan pelanggan tidak akan merugikan pihak peniaga.  Malah dengan cara ini akan lebih menarik pelanggan dan mereka juga gembira untuk memperkenalkan rakan yang lain dengan perniagaan kita. Sebagai peniaga kita perlulah sentiasa menghargai dan memberi perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan supaya mereka kekal menjadi pelanggan setia kita.



Comments

Popular Posts