Kebebasan Kewangan - 8/4/2013

Teks : Anys Idayu Zakaria

Alhamdulillah hari ini selesai juga menghias blog saya. Semalam post pertama agak nampak kosong kerana belum sempat untuk memasukkan link yang lain.  Hari ini saya nak berkongsi sedikit tentang kebebasan kewangan.  Saya percaya ramai di luar sana menjalankan bisnes secara sambilan walaupun telah mempunyai pekerjaan tetap kerana mahukan kebebasan kewangan.  Begitu jugalah dengan saya.  Hasrat saya kalau boleh hendak selesaikan semua hutang pelajaran (PTPTN), hutang kereta, hutang rumah, banyaknye hutang ye, termasuk jugalah hutang membeli barangan lain seperti kelengkapan rumah. Rasanya buat masa ini hutang  membeli kelengkapan rumah belum ada lagi. Yang ada hanyalah hutang-hutang yang agak besar jumlahnya.

Kebebasan kewangan ialah, apabila kita tidak mempunyai hutang, dan pendapatan kita melebihi perbelanjaan setiap bulan. Ada 3 langkah bagaimana mencapai kebebasan kewangan (yang ni saya dapatkan info di goggle)

1) Langsaikan semua hutang (keluar dari cengkaman hutang)
Langkah pertama adalah dengan menyenaraikan kesemua hutang yang kita ada seperti hutang kereta, kad kredit, PTPTN, rumah, kawan-kawan, dan sebagainya. Kita perlu senaraikan hutang tersebut mengikut urutan yang mana yang paling sedikit sebagai hutang no 1.  Tuliskan berapa jumlah hutang yang perlu dibayar. Ini contoh hutang yang perlu saya selesaikan
1) Kad kredit (RM5000)… RM150 sebulan
2) PTPTN (RM10,000)…….RM100 sebulan
3) Kereta (RM50,000)…….RM600 sebulan
4) Rumah (RM168,000)….RM800 sebulan
===========================
Jumlah (RM233,000)…….RM 1,650 sebulan
===========================

Wah! banyak betul rupanya hutang saya. Langkah pertama yang perlu saya lakukan ialah mesti bertekad dalam hati untuk tidak menambah hutang dan juga perlu menyelesaikan semua hutang tersebut.  Jadi saya perlu peruntukan wang lebih untuk membayar hutang no 1(kad kredit) supaya saya dapat menghapuskan satu hutang saya. setelah hutang no 1 selesai, saya perlu peruntukan wang lebihan untuk membayar lebih bagi hutang no 2.  Begitulah seterusnya sehingga kesemua hutang tersebut selesai.
2) Tambah pendapatan berulang “passive income”  
Langkah seterusnya (langkah ini boleh dilakukan sewaktu masih lagi dalam proses membayar hutang) , ialah dengan mewujudkan “pendapatan berulang”. Pendapatan berulang ialah pendapatan yang kita perolehi setiap bulan walaupun kita tidak melakukan perkara/pekerjaan tersebut.
Buat masa sekarang saya hanya memiliki satu pendapatan berulang iaitu sewaan tapak berniaga burger. Setiap bulan penyewa akan membayar duit sewaan kepada saya.  Saya juga berhasrat untuk menambah lebih banyak lagi pendapatan berulang ini, melalui penulisan blog, ebook dan sebagainya.  Insya Allah. Mudah-mudahan tercapai.
3) Awasi status kewangan setiap masa
Langkah ketiga ialah selalu menyemak status kewangan setiap bulan.  saya perlu membeli benda-benda yang perlu sahaja dan mestilah secara tunai.  Jangan sesekali berhutang dan menggunakan kad kredit. 
Percayalah dengan melakukan 3 langkah ini, kita akan berjaya mencapai tahap kebebasan kewangan hanya dalam masa beberapa tahun sahaja, dan yang paling penting kita perlulah berdisiplin untuk melaksanakannya.
Saya amat berharap dapat mencapai kebebasan kewangan supaya dapat menikmati hidup tanpa berhutang, dapat berjalan dan melancong ke mana sahaja tanpa perlu menyekatnya serta dapat memberikan sesuatu yang terbaik untuk anak-anak terutamanya.
Semoga akan menjadi panduan untuk kalian yang sedang berhasrat untuk mencapai kebebasan kewangan.


Comments

Popular Posts